Pada awal perkahwinan kami, saya menghadapi masalah untuk memahami benda-benda kegemaran isteri saya. Adakah dia ingin makan malam yang santai di rumah, atau hidangan di sebuah restoran mewah? Adakah dia bersetuju jika saya bergaul dengan kawan-kawan lelaki saya, atau dia mengharapkan saya agar melapangkan hujung minggu bersamanya? Pernah sekali, saya tidak lagi ingin membuat tekaan dan membuat keputusan sendiri terlebih dahulu, jadi saya bertanya terus kepadanya, “Apakah yang kamu mahu?”

“Mana-mana pilihan itu pun boleh,” jawabnya dengan senyuman mesra. “Saya berasa gembira kerana kamu memikirkan saya.”

Kadangkala saya sangat ingin tahu dengan tepat apa yang Tuhan mahu saya lakukan—misalnya jenis pekerjaan yang perlu diambil. Dengan berdoa untuk pimpinan Tuhan serta membaca Alkitab semata-mata, tidak mendedahkan apa-apa jawapan yang tertentu. Namun ada satu jawapan yang pasti: Saya harus percaya kepada Tuhan, mencari kebahagiaan daripada-Nya, dan menyerahkan jalan hidup saya kepada-Nya (Mazmur 37:3-5).

Itulah masa saya menyedari bahawa Tuhan biasanya memberikan kita kebebasan untuk memilih—jika kita terlebih dahulu mencari pimpinan-Nya sebelum kita mengambil tindakan berdasarkan cara sendiri. Itu bermaksud bahawa kita membuang pilihan yang jelasnya salah atau yang tidak akan menyenangkan hati-Nya. Mungkin hal itu merujuk kepada sesuatu yang tidak bermoral, tidak beriman, atau menjejaskan hubungan kita dengan Dia. Jika pilihan yang lain itu akan menyenangkan hati Tuhan, maka kita bebas untuk memilihnya. Bapa kita yang maha pengasih mahu “menunaikan hasrat hati” kita—hati yang mencari kebahagiaan yang datang daripada-Nya (Mazmur 37:4).