Cuaca di luar semakin buruk, dan notifikasi dalam telefon bimbit saya memberi amaran mengenai banjir kilat mungkin akan berlaku. Bilangan kereta yang banyak secara luar biasa telah diletakkan di kawasan kejiranan saya semasa ibu bapa dan orang lain berkumpul untuk mengambil anak-anak di perhentian bas sekolah. Pada masa bas tiba, hujan mula turun. Itulah masanya saya memerhatikan seorang wanita keluar daripada keretanya dan mengambil payung daripada but kereta. Dia berjalan ke arah seorang gadis kecil dan memastikan anak itu dilindungi daripada hujan sehingga mereka kembali ke kenderaan. Betapa indahnya gambar “masa nyata” mengenai penjagaan ibu bapa, dan perlindungan ini mengingatkan saya tentang penjagaan Bapa syurgawi kita.

Nabi Yesaya meramalkan hukuman kerana ketidaktaatan, dan seterusnya diikuti oleh hari-hari yang lebih cerah untuk umat Tuhan (Yesaya 40:1-8). Khabar syurgawi dari gunung (ayat 9) meyakinkan orang Israel tentang kehadiran Tuhan yang berkuasa dan penjagaan-Nya yang lembut. Baik masa dahulu mahupun sekarang, Berita Baik ini adalah kuasa dan kewibawaan Tuhan, hati yang cemas tidak perlu takut (ayat 9-10). Pengumuman itu juga termasuklah berita mengenai perlindungan Tuhan, jenis perlindungan yang diberikan oleh para gembala (ayat 11): biri-biri muda yang lemah adalah selamat dalam tangan Gembala; induk-induk domba yang menyusu akan dipimpin dengan lembut.

Kita sering menghadapi keadaan yang mencabar di dunia ini, gambaran penyelamatan dan penjagaan seperti itu mendorong kita berharap kepada Tuhan dengan penuh keyakinan. Mereka yang mempercayai Tuhan dengan sepenuh hati akan menemukan kesejahteraan dan kekuatan baru dalam Dia (ayat 31).