Duri tu menusuk jari telunjuk saya sehingga mengeluarkan darah. Saya berteriak dan kemudian mengerang, lalu menarik balik tangan saya secara naluri. Tetapi saya tidak sepatutnya terkejut, sebab jika anda cuba memangkas semak berduri tanpa sarung tangan berkebun, perkara seperti ini pasti akan berlaku.

Kesakitan berdenyut di jari saya—dan darah yang mengalir darinya—menuntut perhatian. Ketika saya mencari pembalut, saya mendapati diri saya tanpa jangkaan memikirkan Penyelamat saya, ketika askar memaksa Yesus memakai mahkota duri (Yohanes 19:1-3). Sekiranya satu duri sebegini menyakitkan, saya fikir, berapa banyaknya kesengsaraan akan seluruh mahkota tersebut? Itu pun hanya sebahagian kecil daripada kesakitan fizikal yang ditanggung-Nya. Belakang badan-Nya disebat dengan cambuk. Paku-paku menembusi pergelangan tangan dan mata kaki-Nya. Rusuk-Nya ditikam dengan lembing.

Tetapi Yesus juga menahan kesakitan rohani. Yesaya 53:5 memberitahu kita, “Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya.” “Kesejahteraan” yang disebutkan oleh Yesaya di sini adalah cara lain untuk berbincang mengenai pengampunan. Yesus membenarkan diri-Nya ditembusi oleh pedang, paku-paku, dan mahkota duri—agar kita berdamai secara rohani dengan Tuhan. Pengorbanan-Nya, kerelaan-Nya untuk mati bagi pihak kita, segala ini telah membuka jalan agar kita boleh membina hubungan dengan Bapa. Alkitab memberitahu kita, Dia telah melakukannya untuk saya dan untuk anda.