Selama bertahun-tahun, perasaan tidak berguna dan perasaan malu atas masa lampau saya yang tidak salih berkesan buruk dalam setiap aspek kehidupan saya. Bagaimanakah jika orang lain mengetahui reputasi saya yang terjejas? Walaupun Tuhan membantu saya dengan berani menjemput seorang pemimpin pelayanan untuk makan tengah hari, saya berusaha untuk dilihat sempurna. Saya menggosokkan rumah saya sehingga bersih, memasak tiga hidangan makanan dengan segera, dan memakai seluar jean dan blaus terbaik saya.

Kemudian saya berkejar untuk menutup alat perenjis di halaman depan rumah. Ketika saya menutup muncung hos yang bocor, saya terjerit apabila pancutan air membasahkan seluruh badan saya. Dengan rambut yang belum sempat dikeringkan dan solekan yang menjadi comot, saya pun menukarkan kepada pakaian biasa … tepat pada masanya loceng pintu berbunyi. Dengan perasaan kecewa, saya mengakui kelakuan dan motif saya sejak pagi tadi. Kawan baru saya pun berkongsi pergelutannya sendiri dengan ketakutan dan perasaan tidak selamat yang berpunca daripada rasa bersalah atas kegagalan masa lalu. Selepas kami berdoa, dia menjemput saya menyertai pasukan pelayanannya yang terdiri daripada hamba Tuhan yang tidak sempurna.

Rasul Paulus menerima kehidupan barunya dalam Kristus, dia enggan menafikan masa lampaunya atau membiarkan segala ini menghalang dia melayani Tuhan (1 Timotius 1:12-14). Oleh sebab Paulus tahu pekerjaan Yesus pada kayu salib telah menyelamatkan dan mengubah dia—orang yang paling berdosa—dia memuji Tuhan dan menggalakkan orang lain memuliakan dan mentaati Dia (ayat 15-17).

Apabila menerima rahmat dan pengampunan Tuhan, kita dibebaskan daripada masa lampau. Kita adalah tidak sempurna tetapi amat disayangi, kita tidak perlu berasa malu dengan siapa kita sebenarnya ketika melayani orang lain dengan kurnia daripada Tuhan kita.