Menurut legenda, Qu Yuan adalah seorang pegawai kerajaan Cina yang bijak dan patriotik, yang hidup pada masa yang dikenal sebagai zaman Negeri-negeri Berperang (475-246 SM). Kisah ini mengatakan bahawa Qu Yuan cuba berulang kali untuk mengingatkan raja tentang satu ancaman yang akan segera menghancurkan negara itu, tetapi rajanya menolak nasihatnya. Akhirnya, Qu Yuan dibuang negeri. Apabila dia mengetahui tentang kejatuhan negara tercintanya ke dalam tangan musuh seperti amaran yang diberikannya, dia mengakhiri nyawanya.

Kehidupan Qu Yuan menyerupai beberapa aspek kehidupan nabi Yeremia. Dia juga berkhidmat kepada raja-raja yang menghina amarannya, dan negaranya dimusnahkan. Akan tetapi, sementara Qu Yuan menyerah kalah kepada keputusasaannya, Yeremia menemukan harapan yang tulen. Mengapakah ada perbezaannya?

Yeremia mengenal Tuhan yang menawarkan satu-satunya harapan sejati. “Ada harapan bagi masa depanmu,” Tuhan telah memberi janji ini kepada nabi-Nya. “Anak-anakmu akan kembali ke daerah mereka” (Yeremia 31:17). Walaupun Yerusalem dihancurkan pada tahun 586 SM, ia kemudiannya dibina semula (lihat Nehemia 6:15).

Kadangkala kita mendapati diri kita berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kita berputus asa. Misalnya mendapat satu laporan perubatan yang buruk, kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, atau keluarga yang berpecah belah. Tetapi apabila hidup kita mencapai titik yang paling rendah, kita masih boleh melihat ke atas—sebab Tuhan berada di atas takhta! Dia menguasai masa hidup kita dalam tangan-Nya, dan Dia amat mengasihi kita.