Anne Frank terkenal dengan buku diarinya yang menggambarkan tahun-tahun persembunyian keluarganya semasa Perang Dunia II. Apabila dia kemudian dipenjarakan di kem kematian Nazi, mereka yang bersama dengannya berkata “air matanya [untuk mereka] tidak pernah berhenti,” telah membuatkan dia “menjadi berkat bagi semua orang yang mengenalnya.” Cendekiawan Kenneth Bailey menyimpulkan bahawa Anne tidak pernah “lelah untuk menyatakan belas kasihan.”

Kelelahan untuk menyatakan belas kasihan merupakan salah satu akibat dalam kehidupan di dunia yang rosak ini. Penderitaan besar yang dialami oleh manusia boleh sahaja mengebaskan niat baik di kalangan kita. Namun, kelelahan untuk menyatakan belas kasihan bukan sifat Yesus. Matius 9:35-36 berkata, “Demikianlah Yesus berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil tentang kerajaan Allah, serta menyembuhkan semua penyakit dan kesakitan. Apabila Yesus melihat orang yang ramai itu, Dia berbelas kasihan terhadap mereka kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala.”

Dunia kita menderita bukan sahaja dari segi keperluan fizikal, malahan juga dari segi kerosakan rohani. Yesus datang untuk memenuhi keperluan itu dan mencabar para pengikut-Nya untuk menyertai Dia dalam tugas ini (ayat 37-38). Dia berdoa supaya Bapa akan membangkitkan para pekerja untuk memenuhi keperluan orang di sekeliling kita—orang yang bergelut dengan kesunyian, dosa, dan penyakit. Semoga Bapa memberikan kita hati yang mencerminkan hati-Nya untuk melayani orang lain. Dalam kekuatan Roh-Nya, kita boleh menyatakan belas kasihan-Nya kepada mereka yang menderita.