Semasa berbual-bual dengan seorang rakan yang tinggal di tepi pantai, saya memberitahunya betapa saya gemar mendengar burung camar berkeok. “Makhluk-makhluk yang keji,” jawabnya, kerana baginya burung-burung tersebut merupakan ancaman harian. Sebagai seorang yang berasal dari London, saya membenci rubah. Saya mendapati bahawa rubah bukan haiwan yang comel, melainkan makhluk yang merayau-rayau serta meninggalkan kotoran yang berbau busuk.

Rubah-rubah muncul dalam puisi cinta Kidung Agung, sebuah buku Perjanjian Lama yang menunjukkan percintaan antara suami dan isteri, serta beberapa orang pengulas mempercayai bahawa ia juga merujuk kepada hubungan antara Tuhan dan umat-Nya. Pengantin wanita memberi amaran tentang rubah kecil, meminta pengantin lelaki untuk menangkapnya (Kidung Agung 2:15). Apabila rubah-rubah berasa lapar dan menginginkan anggur di kebun anggur, haiwan ini akan memusnahkan tanaman yang mentah. Oleh sebab pengantin perempuan menanti-nantikan kehidupan perkahwinan mereka, dia tidak mahu haiwan perosak yang mengganggu ikatan janji percintaan mereka.

Bagaimanakah “rubah-rubah” boleh mengganggu hubungan kita dengan Tuhan? Bagi saya, apabila saya berkata “ya” kepada terlalu banyak permintaan, saya boleh menjadi letih dan tidak menyenangkan. Atau apabila saya melihat konflik dalam sesebuah hubungan, saya boleh dicuba untuk berputus asa atau berasa marah. Apabila saya meminta Tuhan agar Dia mengehadkan kesan “rubah-rubah” ini— yang telah saya biarkan masuk melalui pintu yang terbuka atau yang menyelinap ke dalam hidup—saya lebih mempercayai dan mengasihi Tuhan ketika saya merasakan kehadiran dan pimpinan-Nya yang penuh kasih.

Bagaimanakah dengan anda? Bagaimanakah anda boleh mencari pertolongan Tuhan daripada segala sesuatu yang menjauhkan anda daripada Dia?