Seorang lelaki membuat tuntutan mahkamah terhadap seorang wanita, dengan tuduhan bahawa wanita itu memiliki anjing yang sebenarnya kepunyaan lelaki itu. Di mahkamah, wanita itu berkata bahawa anjing tersebut tidak mungkin ialah milik lelaki itu, serta memberitahu hakim tempat yang dia membeli anjing itu. Namun identiti pemilik sebenar telah didedahkan apabila hakim melepaskan ikatan anjing itu di bilik mahkamah. Ekornya bergoyang-goyang, dan dengan serta-merta anjing itu berlari ke arah lelaki tersebut!

Salomo, seorang hakim di Israel purba perlu menyelesaikan masalah yang agak serupa. Dua orang wanita masing-masing mendakwa sebagai ibu kepada seorang bayi lelaki. Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, dia meminta sebilah pedang untuk membelah bayi itu kepada dua bahagian. Ibu sebenar merayu kepada Salomo untuk menyerahkan bayi tersebut kepada wanita yang lain itu, dia memilih untuk menyelamatkan nyawa anaknya walaupun dia tidak dapat memilikinya (1 Raja-Raja 3:26). Lalu Salomo menyerahkan bayi itu kepada dia.

Kebijaksanaan diperlukan apabila kita menentukan apa yang adil, yang bermoral, betul dan salah. Jika kita benar-benar menghargai kebijaksanaan, kita boleh memohon hati yang bijaksana daripada Tuhan, seperti yang dilakukan oleh Salomo (ayat 9). Tuhan mungkin menjawab permintaan kita dengan menolong kita mengimbangkan keperluan dan keinginan kita sementara menjaga kepentingan orang lain. Dia juga mungkin menolong kita mempertimbangkan antara manfaat jangka pendek dengan manfaat jangka panjang (ada kalanya bersifat kekal), supaya kita dapat memuliakan Dia dalam kehidupan kita.

Tuhan kita bukan hanya seorang hakim yang sangat bijaksana, tetapi Dia juga seorang penasihat yang rela memberi setiap kita kebijaksanaan-Nya dengan murah hati (Yakobus 1:5).