Walaupun dengan keadaan kesihatan dan pergerakan tubuh yang terhad di katil, Morrie Boogaart yang berusia 92 tahun tetap menjahit topi untuk orang yang tidak memiliki tempat tinggal di Michigan. Dia dilaporkan telah membuat lebih daripada 8,000 buah topi dalam masa lima belas tahun. Tanpa mengambil kira keadaan kesihatannya, Encik Boogaart memandang dirinya lebih daripada keterbatasan, serta melakukan apa yang mampu dilakukan demi mengutamakan keperluan orang lain berbanding keperluannya sendiri. Dia mengatakan bahawa pekerjaannya itu telah membuat dia sukacita dan memberinya satu tujuan dalam hidup. Dia berkata, “Saya akan melakukan hal ini sehinggalah saya pulang ke syurga”— dia meninggal pada bulan Februari 2018. Walaupun kebanyakan penerima topinya tidak mengetahui kisah Morrie, atau betapa banyak yang dikorbankannya untuk menghasilkan setiap topi, namun tindakan kasihnya yang sederhana itu kini telah memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia.

Kita juga boleh berhenti berfokus pada pergelutan kita, tetapi mengutamakan keperluan orang lain, dan mengikut contoh Penyelamat kita, Yesus Kristus yang penuh kasih dan belas kasihan (Filipi 2:1-5). Tuhan yang menjadi manusia—Raja segala raja—“mengambil bentuk seorang hamba” dengan penuh kerendahan hati yang tulus (ayat 6-7). Dia memberikan hidup-Nya—pengorbanan terakhir—Dia mengambil tempat kita pada kayu salib (ayat 8). Yesus memberikan segala-galanya untuk kita … segalanya adalah untuk kemuliaan Bapa syurgawi (ayat 9-11).

Sebagai pengikut Yesus, inilah keistimewaan kita untuk mempamerkan kasih dan keprihatinan kita terhadap orang lain melalui tindakan-tindakan yang bercirikan kebaikan. Walaupun kita berfikir bahawa kita tidak mempunyai banyak untuk ditawarkan, namun kita boleh mengamalkan sikap seorang hamba. Kita boleh secara aktif mencari peluang untuk membawa pengaruh yang baik dalam kehidupan orang lain dengan hanya melakukan apa yang kita mampu lakukan.