Ketika ada peluang untuk mengambil peranan baru di tempat kerja, Simon percaya bahawa itu merupakan satu berkat Tuhan. Setelah berdoa untuk mengambil keputusan dan mendapatkan nasihat, dia berpendapat bahawa Tuhan memberikannya kesempatan ini untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Segalanya berjalan dengan lancar, dan bosnya menyokong setiap tindakannya. Kemudian mula berlakunya hal-hal yang tidak diingini. Beberapa rakan sekerja mencemburui kenaikan pangkatnya dan enggan bekerjasama. Dia mula berfikir sama ada dia harus berputus asa sahaja.

Semasa orang Israel kembali ke Yerusalem untuk membina rumah Tuhan, musuh-musuh berusaha untuk membuatkan mereka takut dan patah semangat (Ezra 4:4). Orang Israel menghentikan segala pembinaan pada mulanya, tetapi mereka menyambung usaha setelah Tuhan menggalakkan mereka melalui nabi Hagai dan Zakharia (4:24-5:2).

Sekali lagi, musuh datang untuk mengganggu mereka. Tetapi kali ini orang Israel tetap bertahan, kerana mereka tahu bahawa “mata Allah mereka tertuju kepada [mereka]” (5:5). Mereka berpegang teguh pada perintah Tuhan dan mempercayai bahawa Dia akan menolong mereka mengharungi setiap tentangan yang akan dihadapi mereka. Kemudian Tuhan betul-betul menggerakkan hati raja Parsi untuk menyokong pembinaan Bait Suci (ayat 13-14).

Demikian juga, Simon mencari kebijaksanaan Tuhan untuk mengetahui sama ada dia harus bertahan atau mencari kedudukan yang baru. Setelah memahami bahawa Tuhan memanggil dia mengekalkan kedudukannya, maka dia bersandar pada kuasa Tuhan untuk bertahan. Lama-kelamaan, dia mendapat penerimaan rakan sekerjanya secara perlahan-lahan.

Ketika kita berusaha untuk mengikut Tuhan, di mana pun Dia menempatkan kita, kita mungkin menghadapi tentangan sepanjang jalan. Itulah masanya kita perlu terus mengikut Dia. Dia akan membimbing dan menolong kita melalui perjalanan itu.