Saya pernah memandu sejauh 80 kilometer untuk mengadakan perbualan yang sukar dengan seorang kakitangan di tempat yang terpencil. Saya telah menerima satu laporan daripada seorang pekerja lain yang mengatakan bahawa dia telah memberikan gambaran yang salah tentang syarikat kami, dan saya mengambil berat tentang reputasi syarikat. Jadi saya berasa ini ialah kewajipan saya untuk menasihati orang itu supaya mengubah pilihannya.

Dalam 1 Samuel 25, kisah tentang seseorang yang tidak dijangka telah mengambil risiko besar untuk menghadap bakal raja Israel yang hampir membuat pilihan yang membawa malapetaka. Ini dikisahkan bahawa Abigail telah berkahwin dengan Nabal, seorang lelaki yang berperwatakan sesuai dengan maksud namanya (“bodoh”) (ayat 3, 25). Nabal enggan membayar upah kepada Daud dan pasukan tenteranya yang melindungi ternakan Nabal (ayat 10-11). Apabila mendengar bahawa Daud merancang untuk membalas dendam dengan membunuh ahli-ahli keluarganya, serta mendapat tahu bahawa suaminya yang bodoh itu tidak akan mendengar kata-katanya, Abigail pun menyediakan persembahan sebagai tanda perdamaian dan pergi bertemu dengan Daud, serta memujuknya agar mempertimbangkan semula keputusannya itu (ayat 18-31).

Bagaimanakah Abigail melakukannya? Selepas menghantar terlebih dahulu keldai yang dimuat dengan makanan untuk membekalkan keperluan Daud dan orangnya, serta menyelesaikan hutang Nabal, dia bercakap benar kepada Daud. Dia dengan bijaknya mengingatkan Daud tentang panggilan Tuhan kepadanya. Sekiranya dia menolak keinginannya untuk membalas dendam, maka apabila Tuhan menjadikannya raja kelak, dia tidak akan “tersandung atau berasa susah hati kerana hal ini, iaitu bahawa tuan telah menumpahkan darah dengan tidak semena-mena” (ayat 31).

Mungkin anda juga mengenal seseorang yang hampir melakukan kesilapan yang boleh membahayakan orang lain, malah tidak lagi dapat melayani Tuhan dengan efektif. Seperti Abigail, adakah mungkin Tuhan sedang memanggil anda untuk mengadakan perbualan yang sukar dengan seseorang?