Ibu bapa Sue bercerai semasa dia masih kecil, isu-isu seperti penjagaannya serta hal-hal lain telah mengakibatkan dia dihantar ke rumah kanak-kanak untuk sementara. Dia dibuli oleh kanak-kanak yang lebih besar daripadanya, dia berasa keseorangan serta ditinggalkan. Ibunya hanya melawat dia sekali sebulan, dan dia jarang berjumpa dengan ayahnya. Namun, beberapa tahun kemudian, ibu Sue memberitahu dia bahawa sewaktu dia tidak dapat melawat Sue dengan kerap kerana terhalang oleh peraturan rumah kanak-kanak, dia berdiri di tepi pagar setiap hari dan berharap agar dapat melihat anak perempuannya itu meskipun sepintas lalu. Dia berkata, “Ada kalanya, ibu hanya akan memerhatikan kamu bermain di taman untuk memastikan kamu berada dalam keadaan yang baik.”

Sewaktu Sue berkongsi kisah ini, ia mengingatkan saya tentang kasih Tuhan. Kadang-kadang kita mungkin berasa ditinggalkan dan bersendirian dalam pergelutan kita. Sungguh menghiburkan apabila mengetahui bahawa sebenarnya Tuhan memerhatikan kita sepanjang masa! (Mazmur 33:18). Walaupun kita tidak dapat melihat Dia, Dia menyertai kita. Seperti ibu bapa yang penyayang, mata dan hati Tuhan sentiasa berfokus pada kita tidak kira ke mana kita pergi. Namun, ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh ibu Sue, kerana Tuhan dapat bertindak bagi pihak kita pada bila-bila masa.

Mazmur 91 memberi gambaran bahawa Tuhan membebaskan, melindungi, dan mengangkat anak-anak-Nya. Dia bukan hanya tempat perlindungan dan tempat teduh kita. Semasa kita melalui lembah-lembah hidup yang gelap, kita mendapat penghiburan dengan mengetahui bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa sedang memerhatikan kita dan bersifat aktif dalam kehidupan kita. “Aku akan menjawab [anda],” Dia menyatakan. “Aku akan menyertai [anda] ketika [anda] dalam kesusahan, dan Aku akan melepaskan [anda]” (ayat 15).