Saya dan adik-beradik saya membesar di atas lereng bukit yang berhutan di Virginia Barat. Di landskap yang subur situlah kami menggunakan daya imaginasi. Sama ada berayun pada pokok-pokok menjalar seperti Tarzan atau membina rumah pokok seperti novel Keluarga Swiss Robinson, kami melakonkan adegan yang ditemukan dalam cerita-cerita yang kami baca dan wayang-wayang yang kami tonton. Salah satu aktiviti kegemaran kami adalah membina kubu dan kemudiannya berpura-pura bahawa kami selamat daripada serangan. Bertahun-tahun kemudian, anak-anak saya membina kubu-kubu daripada selimut, kain cadar, dan bantal-bantal—membina “tempat selamat” mereka sendiri terhadap musuh-musuh bayangan. Dalam naluri kita, kita cenderung menginginkan suatu tempat persembunyian yang anda boleh berasa selamat dan terlindung.

Apabila Daud dan pemazmur dari Israel sedang mencari suatu tempat yang selamat, dia tidak meminta pertolongan selain daripada Tuhan. Mazmur 46:1-2 menegaskan, “Allah Perlindung dan Pemberi kekuatan kepada kita, sentiasa sedia menolong pada waktu kesusahan. Oleh itu kita tidak akan takut.” Apabila anda merenungkan rekod Perjanjian Lama tentang kehidupan Daud dan ancaman yang sering dihadapinya, kata-kata ini mendedahkan tahap keyakinannya yang menakjubkan dalam Tuhan. Biarpun menghadapi ancaman-ancaman itu, dia yakin bahawa keselamatan yang sebenar dicari dalam Tuhan.

Kita boleh mengenali keyakinan yang sama itu. Tuhan yang berjanji bahawa Dia tidak akan meninggalkan atau membiarkan kita (Ibrani 13:5) adalah Tuhan yang kita percayakan dengan kehidupan kita setiap hari. Walaupun kita tinggal di dunia yang marabahaya, Tuhan kita memberi kita kesejahteraan dan keyakinan—sekarang dan selama-lamanya. Dia ialah perlindungan kita.