Orang yang membaiki kereta itu kelihatan muda—terlalu muda untuk menyelesaikan masalah kami, menghidupkan semula kereta kami. “Dia hanya seorang kanak-kanak,” suami saya, Dan, berbisik kepada saya, menunjukkan keraguannya. Ketidakpercayaannya terhadap orang muda itu kedengaran seperti rungutan rakyat di Nasaret yang meragui siapa itu Yesus.

“Bukankah Dia anak tukang kayu?” mereka bertanya (Matius 13:55) ketika Yesus mengajar di rumah ibadat. Sambil mengejek, mereka terkejut mendengar bahawa seorang yang dikenali mereka boleh menyembuhkan penyakit orang dan mengajar. Maka mereka bertanya, “Dari manakah Dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah Dia mendapat kuasa melakukan mukjizat?” (ayat 54). Mereka seharusnya percaya kepada Yesus, tetapi mereka tersinggung oleh kuasa yang ditunjukkan-Nya (ayat 15, 58).

Kita mungkin juga bergelut untuk mempercayai kebijaksanaan dan kuasa Penyelamat kita, terutamanya dalam butiran lazim dan biasa mengenai kehidupan seharian kita. Namun jika kita enggan menantikan pertolongan-Nya, kita akan terlepas keajaiban hidup-Nya yang mengubah hidup kita sendiri (ayat 58).

Kemudian Dan menyedari bahawa bantuan yang diperlukannya sebenarnya berada betul-betul di hadapannya. Akhirnya suami saya bersetuju untuk menerima bantuan pemuda itu, serta membenarkan dia melihat bateri kereta lama kami. Dengan menukarkan hanya satu bolt, mekanik itu berjaya menghidupkan kereta kami dalam beberapa saat—enjin berbunyi dan lampu-lampu bernyala. “Ia bercahaya seperti Krismas,” kata Dan.

Semoga kita juga mengalami Mesias yang membawa cahaya, kehidupan, dan bantuan ke dalam perjalanan harian kita dengan-Nya.