Waktunya telah tiba sekali lagi, apabila kita akan berkumpul dengan keluarga untuk merayakan musim perayaan bersama-sama. Walau bagaimanapun, ada antara kita takut untuk berjumpa saudara-mara tertentu yang terlalu “mengambil berat” tentang keadaan masing-masing. Hal ini kerana soalan-soalan mereka sering membuatkan mereka yang masih bujang atau tiada anak berasa bahawa ada sesuatu yang tidak betul dengan mereka.

Bayangkan keadaan yang dihadapi oleh Elisabet, yang tiada anak walaupun telah berkahwin selama bertahun-tahun. Dalam budayanya, itu dilihat sebagai tanda yang tidak diperkenan Tuhan (lihat 1 Samuel 1:5-6) dan sebenarnya boleh dianggap memalukan. Jadi walaupun Elisabet seorang yang hidup salih (Lukas 1:6), jiran-jiran dan sanak saudaranya mungkin berfikir sebaliknya.

Namun, Elisabet dan suaminya tetap melayani Tuhan dengan setia. Kemudian, ketika kedua-duanya menjadi sangat tua, satu keajaiban berlaku. Tuhan mendengar doanya (ayat 13). Tuhan suka menunjukkan perkenan-Nya kepada kita (ayat 25). Walaupun Dia mungkin menunda untuk mengabulkan doa, waktu-Nya adalah selalu tepat dan kebijaksanaan-Nya selalu sempurna. Bagi Elisabet dan suaminya, Tuhan mempunyai sebuah hadiah yang istimewa bagi mereka: seorang anak yang akan menyediakan jalan untuk Mesias (Yesaya 40:3-5).

Adakah anda berasa tidak mencukupi kerana anda seolah-olah kekurangan sesuatu—satu ijazah universiti, seorang suami atau isteri, seorang anak, sebuah pekerjaan, sebuah rumah? Teruslah hidup untuk Tuhan dengan setia dan tunggu dengan sabar untuk Dia dan rancangan-Nya, seperti yang dilakukan oleh Elisabet. Tidak kira apa pun keadaan kita, Tuhan sedang bekerja dalam dan melalui kita. Dia memahami hati anda. Dia mendengar doa anda.