Suami saya menjemput seorang rakan ke gereja. Selepas kebaktian, rakannya berkata, “Saya suka lagu-lagu dan suasananya, tetapi saya tidak memahaminya. Mengapakah anda memberi Yesus kehormatan yang begitu tinggi?” Suami saya kemudian menjelaskan kepadanya bahawa kepercayaan Kristian adalah membina hubungan dengan Kristus. Tanpa Dia, kepercayaan ini akan menjadi tidak bermakna. Ini adalah disebabkan oleh apa yang telah dilakukan oleh Yesus dalam hidup, barulah kita boleh berkumpul dan memuji-Nya.

Siapakah Yesus dan apakah yang telah dilakukan-Nya? Rasul Paulus menjawab soalan ini dalam Kolose 1. Tiada seorang pun pernah melihat Tuhan, tetapi Yesus datang untuk menunjukkan dan menyatakan Dia (ayat 15). Yesus sebagai Anak Tuhan, datang untuk berkorban untuk kita dan membebaskan kita daripada dosa. Dosa telah memisahkan kita daripada kesucian Tuhan, jadi kedamaian hanya boleh dicapai melalui seseorang yang sempurna, iaitu Yesus (ayat 14, 20). Dengan kata lain, Yesus telah memberikan kita apa yang tidak boleh diberikan oleh orang lain—jalan masuk ke Tuhan dan hidup kekal (Yohanes 17:3).

Mengapakah Dia layak mendapat pujian seperti itu? Dia menakluki kematian. Dia memenangi hati kita dengan kasih dan pengorbanan-Nya. Dia memberikan kita kekuatan baru setiap hari. Dia adalah segala-galanya bagi kita!

Kita memberi Dia kemuliaan kerana Dia layak mendapatnya. Kita mengagungkan Dia kerana inilah tempat yang sepatutnya Dia berada. Marilah kita memberikan Dia tempat tertinggi dalam hati kita.