Seorang lelaki yang mematuhi undang-undang dan jujur menerima mel suara yang berbunyi, “Ini ialah pegawai ________ dari jabatan polis. Tolong hubungi saya melalui nombor ini.” Kemudian orang itu mula berasa khuatir—takut jika dia telah melakukan kesalahan. Dia takut untuk menelefon kembali, dan dia tidak dapat tidur untuk beberapa hari kerana membayangkan hal-hal yang mungkin berlaku—takut kalau-kalau dia berada dalam kesusahan. Pegawai itu tidak pernah menelefonnya lagi, tetapi lelaki itu berasa khuatir untuk beberapa minggu.

Yesus bertanyakan soalan yang menarik berkaitan kekhuatiran. “Siapakah antara kamu dapat memanjangkan umur walaupun sedikit dengan mengkhuatiri hidupnya?” (Matius 6:27). Mungkin ini boleh membantu kita berfikir semula tentang kecenderungan kita untuk berasa khuatir, kerana hal itu tidak akan memperbaiki situasi yang kita khuatiri.

Apabila masalah merintangi kita, kita boleh mencuba dua pendekatan ini: Bertindak dan percaya kepada Tuhan. Jika kita boleh melakukan sesuatu bagi mengelakkan masalah tersebut, maka cuba praktikkan pendekatan itu. Kita boleh berdoa kepada Tuhan untuk membimbing kita supaya mengambil tindakan yang sepatutnya. Akan tetapi sekiranya tiada apa yang dapat kita lakukan, maka kita harus berasa terhibur dengan pengetahuan bahawa Tuhan tidak pernah berdiam diri apabila kita menghadapi kesusahan sedemikian. Kita sentiasa dapat menyerahkan situasi itu kepada-Nya melalui kepercayaan dan keyakinan kita.

Ketika kekhuatiran seolah-olah timbul dalam hidup kita, semoga kita berpaling kepada kata-kata Raja Daud yang memberikan inspirasi. Dia juga menghadapi banyak kesulitan dan kerisauan, tetapi akhirnya dia memberikan kesimpulan ini: “Serahkanlah kekhuatiranmu kepada TUHAN, maka Dia akan membela kamu” (Mazmur 55:23). Betapa indahnya penyelesaian kepada kekhuatiran ini!