Pelajaran tentang iman boleh sahaja datang daripada sumber-sumber yang di luar jangkaan—seperti yang saya pelajari daripada “Bear”, iaitu anjing berbaka Labrador hitam saya yang beratnya hampir 50 kilogram. Mangkuk air besi Bear yang besar terletak di sudut dapur. Apabila bekas itu menjadi kosong, Bear tidak akan menyalak atau mencakarnya. Sebaliknya, anjing ini akan duduk berdiam diri di sebelah bekas itu dan menunggu. Kadang-kadang dia perlu menunggu beberapa minit, tetapi Bear telah belajar untuk mempercayai bahawa saya akan masuk ke dalam ruangan itu untuk menjenguk dan menyediakan keperluannya. Kepercayaannya pada saya mengingatkan saya tentang kepercayaan yang harus saya letakkan sepenuhnya pada Tuhan.

Alkitab memberitahu kita bahawa “Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat” (Ibrani 11:1). Dasar keyakinan dan kepastian ini ialah Tuhan sendiri, yang “menganugerahi orang yang mencari-Nya” (ayat 6). Tuhan adalah setia untuk menunaikan kesemua janji-Nya kepada semua yang percaya dan datang kepada-Nya melalui Yesus.

Kadang-kadang beriman dalam “perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat” tidaklah mudah. Tetapi kita boleh menjadi tenang dalam kebaikan Tuhan dan sifat kasih-Nya, mempercayai bahawa hikmah-Nya adalah sempurna dalam segala perkara—meskipun kita harus menunggu. Dia sentiasa setia terhadap apa yang dikatakan-Nya: untuk menyelamatkan jiwa kita dan memenuhi keperluan kita yang terdalam, sekarang dan selama-lamanya.