“Saya tidak mahu berkongsi!” teriak anak bongsu saya, yang berasa sakit hati kerana harus berpisah walaupun hanya dengan sebahagian kecil kepingan LEGO yang banyak itu. Saya membeliakkan mata apabila melihat kelakuannya yang tidak matang. Tetapi sebenarnya, sikap ini tidak hanya kelihatan pada budak-budak. Berapa kerapnya dalam kehidupan saya sendiri juga ditandakan keengganan yang degil untuk berkongsi sesuatu dengan sukarela dan murah hati kepada orang lain?

Sebagai orang yang mempercayai Yesus, kita dipanggil untuk berkongsi kehidupan ini dengan orang lain. Rut melakukan tepat seperti itu dengan ibu mentuanya, Naomi. Sebagai janda miskin, tiada apa-apa yang dapat diberikannya kepada Rut. Tetapi Rut tetap tidak memutuskan hubungan dengan ibu mentuanya, bahkan bertekad bahawa mereka akan tetap bersama, kematian sekalipun tidak akan memisahkan mereka. Dia berkata kepada Naomi, “Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga” (Rut 1:16). Dia dengan sukarela memperlihatkan kasih dan belas kasihan kepada wanita tua itu.

Mungkin sukar bagi kita berkongsi hidup melalui cara ini, namun kita harus ingat akan buah atau hasil daripada kebaikan sikap seperti ini. Rut berkongsi hidupnya dengan Naomi, tetapi kemudiannya dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu datuk kepada Raja Daud. Yesus berkongsi hidup-Nya sendiri dengan kita, tetapi kemudiannya diangkat dan sekarang bertakhta di sebelah kanan Bapa di syurga. Ketika kita dengan sukacita berkongsi dengan orang lain, kita boleh yakin bahawa kita dapat menikmati hidup yang jauh lebih bermakna!