Sewaktu menghadiri ibadat gereja bersama dengan ibu bapa saya, kami biasanya mengucapkan Doa Bapa Kami sambil berpegangan tangan. Sewaktu saya berdiri dengan sebelah tangan menggenggam tangan ibu dan sebelah lagi menggenggam tangan ayah, saya terus terfikir bahawa saya akan sentiasa menjadi anak perempuan mereka. Meskipun saya sudah mencapai pertengahan umur, saya masih boleh dipanggil sebagai “anak Leo dan Phyllis.” Saya merenungkan sejenak dan berfikir bahawa saya bukan hanya anak perempuan mereka, tetapi saya juga adalah anak Tuhan.

Keinginan rasul Paulus adalah supaya jemaah di Roma memahami bahawa identiti mereka adalah berdasarkan mereka diangkat sebagai ahli keluarga Tuhan (Roma 8:15). Oleh sebab mereka sudah dilahirkan melalui “Roh Allah” (ayat 14), maka mereka tidak perlu lagi diperhambakan oleh hal-hal yang tidak penting. Sebaliknya, melalui kurnia Roh, mereka kini “menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia” (ayat 17).

Bagi para pengikut Kristus, apakah perbezaan dalam hal ini? Sebenarnya, kesemuanya! Identiti kita sebagai anak-anak Tuhan menyediakan dasar dan bentuk tentang cara kita melihat diri kita dan dunia ini. Contohnya, dengan tahu kita ialah anggota keluarga Tuhan, ini membantu kita keluar dari zon keselesaan sewaktu kita mengikut-Nya. Kita juga boleh menjadi bebas tanpa mencari perkenan orang lain.

Hari ini, marilah kita merenungkan maksud kita menjadi anak-anak Tuhan.