Pada suatu hari ketika musim yang sangat sejuk, Krista berdiri memandang rumah api yang indah ditutupi salji di tebing tasik. Ketika dia mengambil telefonnya untuk menangkap gambar, cermin matanya berkabut. Dia tidak dapat melihat sesuatu sehinggalah dia menghalakan kamera telefonnya itu ke arah rumah api dan menangkap gambar pada sudut yang berbeza sebanyak tiga kali. Apabila dia melihat gambar-gambar itu kemudian, dia menyedari bahawa kameranya telah ditetapkan pada fungsi “swafoto” (fungsi yang mengambil foto sendiri). Dia ketawa sambil berkata, “Fokus saya ialah saya, saya, dan saya. Segala yang saya lihat ialah saya sendiri.” Foto-foto Krista membuat saya berfikir tentang kesilapan yang sama: Kita boleh sahaja menjadi terlalu fokus kepada diri sendiri, sehingga kita tidak melihat gambaran yang lebih besar tentang rancangan Tuhan.

Yohanes, sepupu Yesus, dengan jelas mengetahui bahawa fokusnya bukan dirinya sendiri. Sejak awal, dia mengetahui bahawa peranannya atau panggilannya adalah untuk menyatakan Yesus, Anak Tuhan itu kepada orang lain. “Lihatlah Anak Domba Allah!” katanya ketika melihat Yesus datang ke arahnya dan pengikut-pengikutnya (Yohanes 1:29). Dia meneruskan, “Aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia” (ayat 31). Apabila pengikut Yohanes kemudian melaporkan bahawa Yesus telah memperoleh ramai pengikut, Yohanes berkata, “Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku pernah berkata, ‘Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya’ … Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting” (3:28-30).

Semoga tumpuan utama hidup kita adalah tertuju kepada Yesus dan mengasihi Dia dengan sepenuh hati.