Saya dan rakan sekerja saya telah melakukan satu tugasan kerja dengan perjalanan sejauh 402.3 kilometer, dan masa agak lewat apabila kami memulakan perjalanan pulang. Keadaan fizikal dan penglihatan saya yang terhad akibat usia lanjut membuatkan saya tidak selesa untuk memandu pada waktu malam; Walau bagaimanapun, saya memilih untuk memandu terlebih dahulu. Tangan saya memegang pada stereng, dan mata saya menatap dengan teliti di jalan-jalan dengan lampunya yang agak malap. Semasa memandu, saya mendapati bahawa saya dapat melihat dengan lebih baik apabila lampu dari kenderaan di belakang saya terpancar ke hadapan lebuh raya. Saya berasa lega apabila akhirnya rakan saya mengambil alih untuk memandu kenderaannya. Ini kerana dia mendapati bahawa saya telah memandu dengan menggunakan lampu kabus dan bukan lampu biasa!

Mazmur 119 merupakan karya penulisan yang sangat bagus, oleh seorang yang mengerti bahawa firman Tuhan memberikan cahaya kepada kehidupan kita setiap hari (ayat 105). Namun, adakah kita kerap mendapati diri kita berada dalam situasi yang sama, seperti malam yang saya alami di lebuh raya itu? Walaupun kita mendapati sukar untuk melihat, malah kadang-kadang kita menyimpang dari jalan yang benar kerana kita terlupa untuk menggunakan cahaya firman Tuhan. Mazmur 119 mendorong kita agar dengan sengaja “menyalakan butang lampu”. Apakah yang akan berlaku apabila kita melakukan hal sedemikian? Kita akan mendapat kebijaksanaan untuk kehidupan suci (ayat 9-11); kita akan mendapat motivasi dan dorongan baharu untuk mengelakkan kejahatan (ayat 101-102). Apabila kita hidup dengan cahaya terang itu, maka pujian pemazmur mungkin juga akan menjadi pujian kita: “Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari” (ayat 97).