Mak cik saya mempunyai pekerjaan yang sangat baik dan menarik dalam bidang pengiklanan. Dia juga selalu mengembara di antara Chicago dan Bandaraya New York. Tetapi dia memilih untuk melepaskan kerjaya itu demi kasihnya terhadap ibu bapanya. Ibu bapanya menetap di Minnesota dan memerlukan penjagaan. Kedua-dua orang adik lelakinya telah meninggal pada usia yang masih muda dalam peristiwa tragis, dan dia satu-satunya anak yang masih hidup. Baginya, dia dapat menyatakan imannya dengan melayani ibu bapanya.

Surat rasul Paulus kepada jemaah di Roma menggesa orang Kristian menjadi “korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya” (Roma 12:1). Dia berharap mereka akan memperluas kasih pengorbanan Kristus sesama mereka. Dia juga meminta mereka agar tidak menganggap diri mereka lebih daripada yang sepatutnya (ayat 3). Apabila mereka terlibat dalam perselisihan dan perpecahan, dia memanggil mereka melepaskan kebanggaan mereka, kerana “sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus” (ayat 5). Dia mengharapkan agar mereka saling menunjukkan kasih yang berkorban kepada satu sama lain.

Setiap hari kita berpeluang untuk melayani orang lain. Misalnya, kita mungkin membiarkan seseorang berdiri di depan kita dalam barisan, atau kita mungkin sama dengan mak cik saya, yang menjaga seseorang yang sedang sakit. Atau mungkin kita berkongsi pengalaman ketika memberi nasihat dan bimbingan kepada orang lain. Apabila kita menawarkan diri kita sebagai korban yang hidup, kita menghormati Tuhan.