“Jika anda sedang bercakap dengan seseorang tetapi dia kelihatannya tidak mendengar, bersabarlah. Mungkin ada sehelai bulu halus tersumbat dalam telinganya.” Ini ungkapan terkenal daripada Winnie the Pooh.

Saya menyedari selama bertahun-tahun bahawa mungkin ada pesanan yang ingin disampaikan oleh Winnie. Apabila seseorang enggan mendengar percakapan kita, walaupun ada kebaikannya jika mereka mendengar, keengganan itu mungkin hanya disebabkan oleh keadaan seperti ada sehelai bulu halus tersumbat dalam telinga mereka. Atau mungkin ada penghalang lain: Sesetengah orang merasakan susah untuk mendengar dengan baik kerana mereka berasa patah hati dan kecewa.

Musa mengatakan bahawa dia berbicara kepada orang Israel tetapi mereka enggan mendengar kata-katanya kerana perhambaan itu telah menyebabkan mereka putus asa (Keluaran 6:9). Perkataan putus asa dalam teks Ibrani secara harfiahnya ialah “sesak nafas,” akibat daripada pengalaman perhambaan yang pahit di negeri Mesir. Oleh demikian, kita dipanggil untuk memahami dan bersimpati terhadap mereka, bukannya mengecam keengganan bangsa Israel untuk mendengar arahan Musa.

Apakah yang patut kita lakukan apabila orang lain enggan mendengar? Kata-kata Winnie the Pooh mengandungi hikmah. Tuhan berkata, “Kasih itu penyabar dan penyayang” (1 Korintus 13:4, AVB); kasih sudi menanti. Tuhan masih bekerja dalam kehidupan setiap individu pada masa kesedihan mereka melalui kasih dan doa kita. Mungkin, dalam masa-Nya, Tuhan akan membuka telinga mereka untuk mendengar. Hanya bersabarlah.