Pada musim panas tahun 2015, saya dan kumpulan dari gereja kami terkejut dengan apa yang kami lihat di Mathare, salah satu kawasan setinggan di Nairobi, Kenya. Kami melawat sebuah sekolah yang berlantaikan tanah, berdinding besi yang telah berkarat, dan berbangku kayu. Tetapi di sebalik persekitaran yang cukup sederhana itu, terdapat seorang perempuan yang menonjol.

Namanya ialah Brilliant (yang bermaksud terang), dan nama itu sangat bersesuaian dengannya. Dia merupakan seorang guru sekolah rendah yang memiliki sukacita dan keazaman yang sehaluan dengan misinya. Dengan memakai baju yang berwarna-warni, penampilan dan sukacitanya sewaktu memberi arahan dan mendorong kanak-kanak di situ merupakan gambaran yang mengagumkan.

Cahaya terang yang dibawa oleh Brilliant kepada persekitarannya menggambarkan teladan yang seharusnya ditunjukkan oleh orang Kristian di Filipi di dunia, ketika Paulus menulis surat kepada mereka pada abad pertama. Di tengah-tengah dunia yang ada banyak keperluan rohani, orang yang percaya kepada Yesus haruslah bersinar “antara mereka seperti bintang menerangi langit” (Filipi 2:15). Tugas kita tidak pernah berubah. Cahaya yang bersinar diperlukan di mana-mana! Alangkah baiknya apabila diketahui bahawa “Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya” (ayat 13). Hidup orang percaya boleh bersinar dalam cara yang sesuai dengan gambaran yang diberikan Yesus bagi orang yang mengikut-Nya. Dia masih berkata kepada kita, “Kamu bagaikan cahaya bagi dunia … Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga” (Matius 5:14-16).