Berita itu tidak baik. Bapa saya telah mengalami sakit dada, oleh itu doktor telah mengatur pemeriksaan untuk jantungnya. Keputusan pemeriksaan menunjukkan bahawa terdapat tiga bahagian arterinya telah tersumbat.

Pembedahan pintasan itu telah dijadualkan pada 14 Februari. Walaupun bapa saya berasa khuatir, namun dia melihat tarikh itu sebagai tanda yang memberi harapan: “Saya akan mendapat jantung baru sempena Hari Valentine!” Memang dia telah mendapatnya! Pembedahan itu berjalan dengan berjaya, memulihkan pembekalan darah ke jantungnya yang bermasalah—jantungnya yang ‘baru’.

Pembedahan bapa saya mengingatkan saya bahawa Tuhan juga menawarkan kepada kita hidup yang baru. Oleh sebab dosa menyumbat arteri rohani kita—kemampuan kita untuk berhubung dengan Tuhan—maka kita memerlukan pembedahan rohani untuk menghapuskannya.

Itulah yang dijanjikan Tuhan kepada umat-Nya dalam Yehezkiel 36:26. Dia menjamin orang Israel, “Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.” Dia juga berjanji, “Aku akan … membersihkan kamu daripada … segala sesuatu yang telah menajiskan kamu” (ayat 25). dan “mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu” (ayat 27). Kepada umat yang telah hilang harapan, Tuhan menjanjikan permulaan yang baru kerana hanya Dia yang dapat memperbaharui hidup mereka.

Janji itu akhirnya digenapi sepenuhnya melalui kematian dan kebangkitan Yesus. Apabila kita percaya kepada-Nya, kita menerima hati rohani yang baru, yang dibersihkan daripada dosa dan kehampaan. Dengan dipenuhi oleh Roh Kristus, hati kita yang baru berdenyut dengan darah rohani Tuhan, “kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru” (Roma 6:4).