Apabila seorang lelaki memasang kamera sekuriti di luar rumahnya, dia memeriksa rakaman video untuk memastikan sistem itu berfungsi. Dia terkejut apabila melihat seseorang yang berbahu lebar dengan berpakaian gelap merayau-rayau di luar rumahnya. Dia memerhatikan dengan teliti untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh orang tersebut. Namun penceroboh itu kelihatan seperti seseorang yang dikenalinya. Akhirnya dia menyedari bahawa sebenarnya bukan orang asing yang merayau-rayau di tempat kediamannya, tetapi orang yang dalam rakaman tersebut ialah dia sendiri yang berjalan di belakang rumahnya!

Apakah yang kita mungkin lihat jika kita keluar daripada keadaan diri kita dan memerhatikan kita sendiri dalam situasi tertentu? Apabila hati Daud menjadi keras dan memerlukan perspektif luar—perspektif daripada Tuhan—disebabkan oleh perzinaannya dengan Batsyeba, Tuhan mengutus Natan untuk menyelamatkannya (2 Samuel 12).

Natan memberitahu Daud kisah tentang seorang lelaki kaya yang merompak satu-satunya anak domba daripada seorang lelaki miskin. Walaupun orang kaya itu mempunyai banyak binatang ternakan, tetapi dia tetap membunuh anak domba tunggal si lelaki miskin itu dan menjadikannya makanan. Ketika Natan menghuraikan tindakan Daud, Daud menyedari dia telah mencederakan Uria. Natan menjelaskan akibat dosanya, tetapi lebih penting lagi, dia meyakinkan Daud, “TUHAN sudah mengampuni tuanku” (ayat 13).

Jika Tuhan mendedahkan dosa dalam hidup kita, tujuan utama-Nya bukan untuk menghakimi kita, melainkan untuk memulihkan dan menolong kita berdamai dengan mereka yang telah kita sakiti. Pertaubatan membuka jalan kepada keakraban yang baru dengan Tuhan melalui kuasa pengampunan dan rahmat-Nya.