Bapa kawan saya menerima diagnosis yang amat ditakuti: kanser. Namun, sepanjang masa proses rawatan kemoterapi, dia telah menjadi seorang yang percaya kepada Yesus dan akhirnya dia bebas daripada penyakit tersebut. Dia mengalami kesembuhan yang baik selama 18 bulan, tetapi penyakit itu muncul kembali—lebih teruk daripada keadaan sebelumnya. Dia dan isterinya menghadapi realiti itu dengan kerisauan dan persoalan. Namun mereka tetap percaya kepada Tuhan kerana campur tangan Tuhan yang dialami mereka sewaktu berhadapan dengan krisis itu pada kali yang pertama.

Kita tidak selalu memahami sebab kita melalui pelbagai ujian. Ayub paling boleh memahami keadaan seperti itu, kerana dia juga menghadapi penderitaan dan kehilangan yang tidak dapat dijelaskan. Namun, meskipun dia mempunyai banyak persoalan, dalam Ayub 12 dia mengisytiharkan bahawa Tuhan itu berkuasa: “Apa yang dirobohkan Allah tidak dapat dibina semula” (ayat 14) dan “Allah kuat dan sentiasa berjaya” (ayat 16). “Dia menjadikan bangsa-bangsa kuat dan gagah, tetapi kemudian mengalahkan dan memusnahkan mereka” (ayat 23). Sepanjang senarai yang lengkap, Ayub tidak pernah menyebutkan motif Tuhan atau sebab Dia mengizinkan kesakitan dan penderitaan. Ayub tiada jawapan. Tetapi walaupun dia mengalami semuanya itu, dia berkata dengan yakin, “pengertian dan kuasa untuk bertindak ada pada Allah sahaja” (ayat 13).

Kita mungkin tidak memahami sebab Tuhan mengizinkan sesetengah kesukaran berlaku dalam hidup kita, tetapi seperti ibu bapa kawan saya, kita boleh meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya. Tuhan mengasihi kita dan menjaga kita dengan tangan-Nya (ayat 10; 1 Petrus 5:7). Hikmah, kuasa dan pengertian ialah milik-Nya!