Siapakah yang anda fikirkan ketika mendengar perkataan mentor? Bagi saya ialah Pastor Rich. Dia melihat potensi saya dan mempercayai saya apabila saya tidak mempercayai diri. Dia menunjukkan contoh cara untuk memimpin melalui pelayanan yang rendah hati dan penuh kasih. Sebagai hasilnya, saya sekarang melayani Tuhan dengan menjadi mentor kepada orang lain.

Nabi Elia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Elisa sebagai seorang pemimpin. Elia menemuinya ketika Elisa sedang membajak tanah dan menjemputnya untuk menjadi anak didik Elia setelah Tuhan memberitahu Elia untuk mengurapi Elisa sebagai penggantinya (1 Raja-Raja 19:16,19). Anak didik yang masih muda itu melihat mentornya melakukan mukjizat yang luar biasa dan mematuhi Tuhan tidak kira dalam apa pun keadaan. Tuhan memakai Elia untuk mempersiapkan Elisa dalam pelayanan sepanjang hidupnya. Pada akhir hidup Elia, Elisa berpeluang untuk meninggalkannya. Sebaliknya, dia memilih untuk memperbaharui komitmennya terhadap mentornya itu. Tiga kali Elia menawarkan untuk melepaskan Elisa daripada tugasnya, namun setiap kali dia enggan dengan berkata, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan” (2 Raja-Raja 2:2, 4, 6). Kerana kesetiaan Elisa, dia juga dipakai oleh Tuhan dengan cara-cara yang luar biasa.

Setiap kita memerlukan seseorang yang memberikan contoh tentang ertinya mengikut Yesus. Semoga Tuhan memberikan kita golongan lelaki dan perempuan salih yang akan membantu kita bertumbuh secara rohani. Semoga kita juga, memberikan hidup kita kepada orang lain, melalui kuasa Roh Kudus.