Steve, seorang askar tentera bersara yang berusia 62 tahun tiada tempat kediaman, berpindah ke sebuah tempat yang bermusim panas dan tidur di luar sepanjang tahun. Pada suatu petang, ketika dia mempamerkan seni lukisan tangannya—usahanya untuk memperoleh sedikit wang—seorang wanita muda menghampiri dan memberikannya beberapa keping piza. Steve menerimanya dengan kesyukuran. Beberapa ketika kemudian, Steve berkongsi makanan itu dengan seorang gelandangan lain yang lapar. Dengan segera, wanita muda yang sama muncul semula dengan sepinggan makanan yang lain, serta memuji Steve kerana dia telah bermurah hati dengan apa yang telah diberikan kepadanya.

Kisah Steve menggambarkan prinsip yang terdapat dalam Amsal 11:25, bahawa apabila kita bermurah hati dengan orang lain, kita berkemungkinan besar juga akan mengalami kemurahan. Tetapi kita tidak harus memberi dengan mengharapkan sesuatu sebagai balasan; jarangnya kemurahan kita dibalas dengan cepat dan jelas seperti yang berlaku padanya. Sebaliknya, kita membantu orang lain dengan memberi sebagai tindak balas kasih terhadap arahan Tuhan (Filipi 2:3-4, 1 Yohanes 3:17). Apabila kita melakukannya, Tuhan senang hati. Sungguhpun Dia tidak berkewajipan untuk mengisi semula dompet atau perut kita, Dia sering mempunyai satu cara untuk menyegarkan kita—kadangkala secara kebendaan, pada masa lain pula secara rohani.

Steve juga berkongsi piza keduanya dengan satu senyuman dan tangan yang terbuka. Walaupun dia ada kekurangan, dia ialah satu contoh tentang maksud untuk hidup dengan murah hati, rela untuk berkongsi dengan riang apa yang kita ada dengan orang lain, dan bukannya menyimpannya untuk diri kita. Apabila Tuhan memimpin dan memberi kekuatan kepada kita, semoga kita juga boleh mengamalkan kemurahan hati.