“Oh, dia hanya seorang budak lelaki nomad,” seseorang berbisik dengan jijik apabila Rodney Smith berjalan ke depan gereja untuk menerima Kristus dalam satu kebaktian pada tahun 1877. Tiada sesiapa yang berfikir banyak tentang remaja ini, anak lelaki kepada ibu bapa yang hidup nomad dan tidak berpendidikan. Namun, Rodney tidak mendengar suara-suara itu. Dia yakin bahawa Tuhan mempunyai tujuan untuk hidupnya. Jadi dia membelikan sebuah Alkitab dan kamus bahasa Inggeris dan mengajar dirinya cara untuk membaca dan menulis. Dia pernah berkata, “Jalan menuju kepada Yesus bukan melalui sekolah-sekolah yang ternama seperti Cambridge, Harvard, Yale, atau penyair. Ia adalah … melalui sebuah bukit kuno bernama (Golgota) Tengkorak”. Sungguhpun menghadapi pelbagai kesukaran, akhirnya Rodney menjadi seorang penginjil yang dipakai oleh Tuhan untuk membawa ramai orang kepada Yesus di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Petrus juga hanya orang biasa. Dia tidak terlatih di sekolah-sekolah agama (Kisah Rasul-Rasul 4:13), merupakan seorang nelayan dari Galilea—ketika Yesus memanggilnya dengan dua perkataan: “Ikutlah Aku” (Matius 4:19). Namun Petrus yang sama ini, walaupun mempunyai latar belakang yang biasa dan mengalami kegagalan, kemudian menegaskan bahawa mereka yang mengikut Yesus ialah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri” (1 Petrus 2:9).

Melalui Yesus Kristus, semua orang—apa pun pendidikan, latar belakang, jantina, atau etnik mereka—boleh menjadi sebahagian daripada keluarga Tuhan dan dipakai oleh-Nya. Semua orang yang mempercayai Yesus telah menjadi “umat Tuhan sendiri”.