Artis Perancis terkenal Edgar Degas diperingati di seluruh dunia kerana lukisannya tentang penari ballet. Apa yang kurang diketahui ialah kecemburuannya terhadap rakan dan pesaing artistiknya, Eduard Manet, seorang pelukis agung yang lain. Degas memberi komen tentang Manet dengan berkata, “Segala sesuatu yang dilakukan oleh Manet selalu memperoleh hasil dengan serta merta, manakala saya harus mengalami kesusahan yang tidak berkesudahan dan tidak pernah melakukannya dengan betul.”

Kecemburuan ini suatu emosi yang negatif, malah disenaraikan oleh rasul Paulus sebagai salah satu sifat yang paling buruk, seperti “kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, mendendam, dan mengumpat” (Roma 1:29). Ia berpunca daripada pemikiran bodoh, tulis Paulus—disebabkan oleh mereka memilih untuk menyembah berhala dan bukan menyembah Tuhan (ayat 28).

Pengarang Christina Fox mengatakan bahawa apabila kecemburuan berkembang di kalangan orang percaya, ia adalah “kerana hati kita telah berpaling daripada kasih sejati kita.” Dalam kecemburuan kita, dia berkata, “kita mengejar kepuasan dunia ini dan bukannya memfokuskan Yesus. Akibatnya, kita telah lupa kita milik siapa.”

Namun ada satu penawar. Berbaliklah kepada Tuhan. “Serahkanlah segenap diri kamu kepada Allah,” tulis Paulus (Roma 6:13)—terutamanya pekerjaan dan kehidupan anda. Dalam satu lagi suratnya, Paulus menulis, “Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain” (Galatia 6:4).

Bersyukur kepada Tuhan atas berkat-berkat-Nya—bukan sahaja dari segi kebendaan, malahan juga rahmat-Nya. Ketika melihat kurnia kita daripada Tuhan, kita akan mendapat kepuasan semula.