Anak lelaki kami, Brian, ialah seorang jurulatih bola keranjang sekolah menengah. Pada suatu tahun, ketika pasukannya sedang bertanding dalam Kejohanan Bola Keranjang Negeri Washington, orang yang berniat baik di sekelilingnya bertanya, “Adakah anda akan memenangi kesemua perlawanan tahun ini?” Para pemain dan jurulatih mula merasakan tekanan, jadi Brian menggunakan moto: “Bermain dengan sukacita!”

Saya teringat kata-kata terakhir rasul Paulus kepada pemimpin-pemimpin jemaah di Efesus: “Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus” (Kisah Rasul-Rasul 20:24). Matlamatnya adalah menyelesaikan tugas yang telah diberikan Yesus. Saya telah menjadikan kata-kata ini sebagai moto dan doa saya: “Semoga saya berlari dan menamatkan perlumbaan hidup saya dengan sukacita.” Atau seperti Brian berkata, “Semoga saya bermain dengan sukacita!’ Akhirnya, pasukan Brian telah memenangi kejohanan negeri itu pada tahun tersebut.

Kita semua mempunyai sebab-sebab yang baik untuk merungut: berita dunia, tekanan setiap hari, masalah kesihatan. Namun begitu, Tuhan boleh memberi kita sukacita yang lebih besar daripada keadaan-keadaan ini jika kita meminta-Nya. Kita boleh mempunyai apa yang dipanggil oleh Yesus, “kegembiraan-Ku” (Yohanes 15:11).

Sukacita ialah buah daripada Roh Yesus (Galatia 5:22). Jadi kita mesti mengingat setiap pagi untuk meminta Dia membantu kita: “Semoga saya bermain dengan sukacita!” Pengarang Richard Foster berkata, “Berdoa bermaksud berubah. Ini adalah rahmat yang besar. Betapa baiknya Tuhan memberikan satu jalan bahawa kehidupan kita boleh diambil alih oleh … sukacita.”