Satu misi organisasi Kristian adalah mempromosikan sifat pengampunan yang membawa pemulihan. Salah satu aktiviti mereka ialah mempersembahkan lakonan tentang seseorang yang telah salah dituduh dan orang yang mempersalahkannya saling membelakangi dan diikat. Hanya orang yang salah dituduh itu boleh melepaskan tali. Namun apa pun yang dilakukannya, ada seseorang di belakangnya. Tanpa pengampunan—tanpa melepaskan tali itu—dia tidak dapat melepaskan diri.

Jika kita menawarkan pengampunan kepada seseorang yang datang kepada kita dalam kesedihan kerana kesalahan mereka, pembebasan kita dan mereka daripada kepahitan dan kesakitan yang telah membuat kita menderita akan bermula. Dalam Kejadian, kita melihat dua adik-beradik dipisahkan selama 20 tahun setelah Yakub mencuri hak Esau sebagai anak sulung. Selepas masa yang panjang ini, Tuhan menyuruh Yakub kembali ke tanah airnya (Kejadian 31:3). Dia mematuhi, tetapi dengan gelisah, jadi dia menghadiahi Esau sebilangan binatang ternakan (32:13-15). Apabila adik-beradik itu bertemu, Yakub sujud di hadapan Esau sebanyak 7 kali dalam kerendahan hati (33:3). Bayangkan betapa kejutnya Yakub ketika Esau berlari memeluknya, malah kedua-duanya bertangis-tangisan atas perdamaian mereka (ayat 4). Yakub tidak lagi digenggam oleh dosa yang dilakukan terhadap abangnya.

Adakah anda berasa dibelenggu oleh sikap yang tidak mengampuni, dibebani dengan kemarahan, ketakutan atau rasa malu? Ketahuilah bahawa Tuhan melalui Anak dan Roh-Nya boleh melepaskan anda apabila anda mencari pertolongan-Nya. Dia akan membolehkan anda memulakan proses melepaskan sebarang tali dan membebaskan anda.