Sewaktu makan tengah hari, seorang sahabat bertanya kepada saya, “Apakah pendapat anda tentang kedamaian?” Saya bingung dan berkata, “Entahlah. Saya tidak pasti. Kenapa?” Dia menjawab, “Ketika anda duduk dan goyang kaki semasa kebaktian, saya tertanya-tanya jika anda berasa gelisah tentang sesuatu. Pernahkah anda fikir tentang kedamaian yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka yang mengasihi-Nya?”

Hal itu berlaku beberapa tahun yang lalu, dan hari itu saya berasa tersinggung dengan pertanyaan tersebut. Tetapi peristiwa itu telah membawa saya memulakan satu perjalanan. Saya mula mengkaji Alkitab untuk melihat bagaimana umat Tuhan mengalami kesejahteraan Tuhan di tengah-tengah kesusahan. Apabila saya membaca surat Paulus bagi orang percaya di Kolose, saya menerima perintah rasul ini yang menyuruh mereka membenarkan kedamaian Kristus memerintah dalam hati mereka (Kolose 3:15).

Paulus menulis surat kepada gereja yang tidak pernah dilawatnya tetapi telah mendengar tentang mereka daripada sahabatnya Epafras. Dia berasa risau jika mereka menerima ajaran sesat, mereka akan kehilangan kedamaian Kristus. Paulus tidak menegur mereka, melainkan mendorong mereka supaya berharap kepada Yesus, yang memberikan mereka kepastian dan pengharapan (ayat 15).

Kesemua kita akan berhadapan dengan keputusan yang kita dapat memilih untuk menerima atau menolak pemerintahan kedamaian Tuhan dalam hati kita. Apabila kita berpaling kepada-Nya dan meminta Yesus tinggal dalam kita, maka dengan lemah lembut, Dia akan membebaskan kita daripada keresahan dan kebimbangan yang sangat membebankan hidup kita. Apabila kita mencari kedamaian-Nya, kita juga mempercayai bahawa Dia akan memenuhi keperluan kita dengan kasih-Nya.