Pada 18 Julai 1983, seorang kapten tentera udara Amerika Syarikat telah hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan dari Albuquerque, New Mexico. 35 tahun kemudian, pihak berkuasa menemukannya di California. Akhbar The New York Times melaporkan bahawa, “Oleh sebab dia tertekan oleh kerja”, lalu dia melarikan diri.

Selama 35 tahun dia melarikan diri! Separuh daripada usianya, dia asyik menoleh ke belakang! Saya membayangkan rasa gelisah dan ketakutan yang sentiasa menghantui orang ini.

Akan tetapi saya harus mengakui bahawa saya juga tahu serba sedikit tentang “melarikan diri”. Tidak, saya tidak pernah melarikan diri daripada sesuatu dalam hidup saya … secara nyata. Namun kadangkala Tuhan menginginkan saya menghadapi atau mengakui sesuatu yang melawan keinginan saya. Maka, dengan cara saya sendiri, saya juga melarikan diri.

Nabi Yunus terkenal dengan cerita tentang dirinya yang melarikan diri daripada tugas yang diberikan Tuhan kepadanya, iaitu menyampaikan firman Tuhan ke kota Niniwe (lihat Yunus 1:1-3). Tetapi, tentu sahaja dia tidak dapat melarikan diri daripada Tuhan. Anda tentu pernah mendengar tentang apa yang telah berlaku (ayat 4,17): Angin ribut. Ikan. Yunus telah ditelan oleh seekor ikan besar. Kemudian sewaktu berada dalam perut ikan, Yunus mula sedar dan berhadapan dengan apa yang telah dilakukannya, dan berseru kepada Tuhan untuk meminta pertolongan (2:2).

Yunus bukan seorang nabi yang sempurna. Tetapi saya terhibur dengan cerita yang luar biasa ini kerana walaupun Yunus degil, Tuhan tidak pernah melepaskannya. Tuhan masih mendengar doanya dan dengan rahmat memulihkan hamba Tuhan yang berat hati ini (ayat 2)—seperti yang dilakukan-Nya terhadap kita.