Sewaktu Xavier McCoury memakai cermin mata yang dikirimkan oleh Mak Cik Celena semasa hari jadinya yang ke-10, dia tiba-tiba menangis! Rupa-rupanya Xavier ialah penghidap buta warna sejak lahir. Sebelum ini dia hanya boleh melihat dunia ini dalam warna kelabu, putih dan hitam. Namun dengan cermin mata EnChroma yang baru ini, Xavier dapat melihat warna untuk kali pertama. Kegembiraan yang ditunjukkan oleh Xavier kerana menyaksikan kecantikan di sekelilingnya membuatkan keluarganya seakan-akan mengalami satu mukjizat.

Sewaktu menyaksikan kemuliaan Tuhan yang bercahaya dan berwarna-warni juga menyebabkan satu reaksi yang sangat luar biasa dalam diri Rasul Yohanes (Wahyu 1:17). Selepas menyaksikan kemuliaan Tuhan Yesus yang telah bangkit, Yohanes “melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. … Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh” (Wahyu 4:2-5).

Pada masa yang lain, Yehezkiel mempunyai penglihatan yang sama. Dia melihat “sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu. Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api” (Yehezkiel 1:26-27). Bentuk manusia yang besar ini dikelilingi dengan sinaran warna-warna pelangi (ayat 28).

Pada suatu hari kelak kita akan bersemuka dengan Kristus yang telah bangkit daripada kematian. Penglihatan-penglihatan ini memberikan kita sedikit gambaran tentang kemuliaan Tuhan sebenar yang sedang menanti kita. Sementara kita merayakan keindahan dalam ciptaan Tuhan di sini pada hari ini, kita dapat hidup dengan menjangkakan kemuliaan yang belum dinyatakan.