“Kesayanganku …” Perkataan ini pertama kali muncul dalam trilogi Tolkien’s The Lord of the Rings. Imej yang ditunjukkan oleh watak Gollum yang kurus kering tergila-gilakan “cincin kuasa yang berharga” telah menjadi ikon ketamakan, obsesi dan kegilaan pada hari ini.

Imej Gollum merupakan satu imej yang mengganggu kerana dia banyak menggambarkan keadaan diri kita. Dalam hubungan cinta tetapi benci yang menyeksa antara dirinya dengan cincin tersebut, suara Gollum melaungkan keadaan hati kita. Sama ada ia terarah kepada sesuatu perkara secara khusus ataupun keinginan untuk mendapatkan “lebih lagi,” kita diyakinkan bahawa apabila kita mendapatkan sesuatu yang menjadi “kesayangan” kita akhirnya, maka kita akan berpuas hati. Akan tetapi, apa yang kita fikir dapat memenuhi hidup kita, ternyata menyebabkan hati kita berasa kekosongan.

Ada cara hidup yang lebih baik. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Daud dalam Mazmur 16, apabila keinginan hati kita mendesak kita untuk mencari kepuasan yang sia-sia (ayat 4), kita perlu ingat berpaling kepada Tuhan untuk perlindungan-Nya (ayat 1), dan mengingatkan diri kita bahawa tanpa Tuhan kita tidak mempunyai apa-apa (ayat 2).

Apabila mata kita berhenti untuk mencari kepuasan daripada sumber lain, dan memandang keindahan Tuhan (ayat 8), kita akan mendapati bahawa kita sedang mengalami kepuasan sejati—kehidupan yang bersukacita dalam hadirat Tuhan dan berjalan dengan Tuhan setiap waktu “dalam perjalanan kehidupan”—sekarang dan selamanya (ayat 11, ATB).