Mereka yang membesar bersama William Carey (1761-1834), mungkin berfikir bahawa dia tidak akan berjaya mencapai sesuatu. Tetapi pada hari ini, dia merupakan bapa bagi misi moden. Dia dilahirkan dalam keluarga penenun, dan menjadi pengajar serta tukang kasut yang kurang berjaya. Namun dia sendiri berusaha untuk mempelajari bahasa Yunani, Ibrani dan Latin. Selepas beberapa tahun, impiannya untuk menjadi misionari di India telah tercapai. Akan tetapi dia menghadapi banyak kesusahan termasuklah kematian anaknya, masalah mental isterinya, dan untuk beberapa tahun dia kurang mendapat respons daripada orang dalam pelayanan.

Apakah yang membolehkan dia tetap melayani di tengah-tengah masalah sewaktu dia menterjemah seluruh Alkitab ke dalam 6 bahasa dan beberapa bahagian Alkitab kepada 29 bahasa yang lain? “Saya boleh bergiat” katanya. “Saya dapat bertahan dalam segala sesuatu yang ingin saya capai.” Dia berkomited untuk melayani Tuhan tidak kira apa percubaan yang dihadapinya.

Pengabdian yang berterusan kepada Kristus adalah perkara yang dinasihati oleh penulis surat Ibrani. Dia memanggil para pembacanya supaya “tidak menjadi malas” (Ibrani 6:12), melainkan “terus bergiat sehingga akhir” (ayat 11) sewaktu mereka mahu menghormati Tuhan. Dia meyakinkan mereka bahawa Tuhan “tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya “ (ayat 10).

Pada tahun-tahun akhir hayat William Carey, dia merenungkan semula bagaimana Tuhan telah mencukupkan keperluannya secara tetap. “Dia tidak pernah gagal menunaikan janji-Nya, maka saya tidak akan menghentikan pelayanan saya bagi-Nya.” Semoga Tuhan memampukan kita untuk melayani Dia hari demi hari.