Seorang budak lelaki balik dari gereja dan mengumumkan dengan teruja bahawa pelajaran hari itu di sekolah minggu adalah tentang seorang budak lelaki yang “makan dan memancing sepanjang hari”. Dia pastinya memikirkan seorang budak lelaki yang menawarkan roti dan ikannya kepada Yesus.

Yesus telah mengajar orang ramai sepanjang hari, dan para pengikut-Nya mencadangkan mereka supaya membeli makanan di pekan. Yesus menjawab, “Kamu sendiri beri mereka makanan” (Matius 14:16). Para pengikut berasa bingung kerana terdapat lebih daripada 5,000 orang harus diberi makan!

Anda mungkin tahu cerita seterusnya: seorang budak lelaki memberikan makanan tengah harinya—lima ketul roti dan dua ekor ikan—dengan itu Yesus memberi makan kepada orang ramai (ayat 13-21). Ada orang berpendapat bahawa kemurahan hati budak lelaki itu mendorong orang ramai berkongsi makanan tengah hari mereka, tetapi Matius dengan jelas menginginkan kita memahami bahawa ini adalah satu mukjizat, dan cerita ini muncul dalam keempat-empat kitab Injil.

Apakah yang boleh kita pelajari? Keluarga, jiran, rakan, rakan sekerja, dan mereka yang lain berdiri di sekeliling kita dalam pelbagai tahap keperluan. Adakah kita menghantar mereka pergi mencari orang yang lebih berkemampuan daripada kita? Sememangnya, keperluan sesetengah orang melebihi kemampuan kita untuk menolong mereka, tetapi bukan selalunya. Apa yang anda ada—satu pelukan, kata-kata yang mendorongkan, telinga yang mendengar, doa yang ringkas, kebijaksanaan—berikannya kepada Yesus dan lihat apa yang boleh dilakukan-Nya.