“Secara emosi, kadang-kadang kita bekerja untuk sejam, tetapi seolah-olah telah bekerja sepanjang hari,” Zack Eswine menulis dalam bukunya, The Imperfect Pastor (Paderi yang Tidak Sempurna). Walaupun dia merujuk khusus kepada beban yang dipikul oleh pastor, hal ini juga benar bagi kebanyakan kita. Emosi dan tanggungjawab yang membebankan boleh menjadikan kita letih secara fizikal, mental dan rohani, dan apa yang kita perlu lakukan ialah tidur.

Dalam 1 Raja-Raja 19, nabi Elia mendapati dirinya dalam keadaan yang kehabisan segala sesuatu. Kita membaca bahawa Ratu Izebel mengancam untuk membunuhnya (ayat 1-2) selepas dia mendapati bahawa nabi Elia telah membunuh semua nabi yang menyembah Baal (lihat 18:16-40). Elia sangat takut lalu melarikan diri dan berdoa agar Tuhan mengambil nyawanya (19:3-4).

Dalam kesusahannya, dia berbaring. Malaikat Tuhan menyentuhnya sebanyak dua kali dan menyuruh dia “bangunlah dan makanlah” (ayat 5, 7). Selepas kali kedua, Elia dikuatkan oleh makanan yang disediakan oleh Tuhan, dan dia “berjalan selama empat puluh hari” sehingga dia sampai ke sebuah gua (ayat 8-9). Di sana, Tuhan menampakkan diri dan memberikan semula satu tugas kepada dia (ayat 9-18)—dan dia disegarkan semula serta dapat meneruskan pekerjaan yang telah diberikan oleh Tuhan.

Kadang-kadang kita juga memerlukan dorongan daripada Tuhan. Dorongan ini boleh datang melalui perbualan dengan orang percaya yang lain, melalui lagu penyembahan, atau melalui masa berdoa dan pembacaan firman Tuhan.

Adakah anda keletihan? Serahkan beban anda kepada Tuhan pada hari ini, dan Dia akan menguatkan anda semula! Dia akan memikul beban anda.