Baru-baru ini saya telah mendapat satu “hack” baru (petua yang bijak bagi masalah rumit) apabila salah seorang cucu perempuan saya telah memanaskan anak patung arnabnya di atas kaca pendiangan kami. Akibatnya, gumpalan bulu patung arnab itu terlekat pada kaca, dan seorang pakar pendiangan telah memberi satu petua yang hebat supaya kaca pendiangan itu tetap kelihatan baru. Cara ini memang berkesan, dan sekarang kami tidak mengizinkan sebarang anak patung berada dekat dengan pendiangan!

Saya menyebutkan tentang petua kerana kadangkala kita menganggap firman Tuhan seumpama satu kumpulan petua—petua untuk menjadikan hidup lebih senang. Memang benar Alkitab mengajar kita cara hidup baru yang memuliakan Kristus, tetapi itu bukan satu-satunya matlamat Alkitab. Sebaliknya, Alkitab memberi penyelesaian bagi keperluan hidup manusia yang utama: diselamatkan daripada dosa dan perpisahan kekal dengan Tuhan.

Bermula daripada janji penyelamatan dalam Kejadian 3:15, sehinggalah harapan benar untuk langit baru dan bumi baru dalam Wahyu 21:1-2, Alkitab menyatakan bahawa Tuhan mempunyai rencana kekal untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan memberi kita peluang untuk bersekutu dengan Dia. Dalam setiap kisah dan bimbingan hidup, Alkitab menujukan kita ke arah Kristus—kerana Dia satu-satunya yang dapat menyelesaikan masalah kita yang terbesar.

Setiap kali kita membuka Alkitab, marilah kita mengingat bahawa kita mencari Yesus, dan penyelamatan yang ditawarkan oleh Dia, serta cara untuk hidup sebagai anak Tuhan. Dia telah menawarkan jalan penyelesaian terbesar!