Namanya ialah Saralyn, dan saya meminati dia sewaktu di bangku sekolah. Dia memiliki gelak ketawa yang sangat menyenangkan. Saya tidak pasti jika dia sedar secara diam-diam bahawa saya meminati dia, tetapi saya mengesyaki bahawa dia tahu. Selepas tamat sekolah, saya kehilangan beritanya. Kami pun menjalani haluan hidup masing-masing.

Saya terus mengikuti perkembangan dengan rakan kelas graduan saya di beberapa forum dalam talian, dan mendengar bahawa Saralyn telah meninggal dunia. Saya berasa sangat sedih. Saya memikirkan hala tuju hidup yang diambilnya bertahun-tahun ini. Pengalaman kehilangan teman-teman dan ahli keluarga berlaku kepada saya ketika usia saya semakin meningkat. Tetapi ramai antara kita cenderung mengelakkan daripada memperkatakannya.

Ketika kita masih berasa sedih, harapan yang dikatakan rasul Paulus memberitahu kita bahawa kematian bukanlah pengakhiran muktamad (1 Korintus 15:54-55). Ada satu perkataan lain yang menyusuli iaitu: kebangkitan. Paulus mendasari pengharapan itu dalam kebangkitan Kristus yang sudah pun berlaku (ayat 12), dan berkata “Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka” (ayat 14). Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang (ayat 19).

Kita akan bertemu semula dengan orang “yang mati dalam Kristus” (ayat 8)—datuk dan nenek, ibu bapa, kawan-kawan dan jiran, atau mungkin orang yang pernah kita minati sewaktu di bangku sekolah.

Kematian bukanlah yang terakhir, kebangkitan barulah kesudahan kita.