Penyelia saya ialah seorang peminat pasukan bola keranjang bagi sebuah universiti. Tahun ini, pasukan ini memenangi kejohanan kebangsaan, jadi rakan kerja yang lain menghantar ucapan tahniah kepadanya. Masalahnya, dia belum berpeluang untuk menonton perlawanan akhir! Menurutnya, dia berasa kecewa kerana mengetahui keputusannya terlebih dahulu. Tetapi dia mengakui, sekurang-kurangnya apabila dia menonton perlawanan itu, dia tidak berasa gemuruh ketika markah kedua-dua pasukan hampir berdekatan pada penghujung perlawanan. Dia sudah tahu siapa yang menang!

Kita benar-benar tidak tahu apa yang bakal berlaku pada esok hari. Ada hari yang dirasakan seperti biasa dan membosankan, manakala hari lain dipenuhi kegembiraan. Bahkan ada kalanya, kehidupan ini terasa meletihkan, malahan penuh kesusahan untuk jangka masa yang sangat lama.

Tetapi walaupun pahit manis kehidupan tidak dapat diduga, kita masih boleh hidup berdasarkan kedamaian yang dibina dalam Tuhan dengan aman. Ini kerana, seperti penyelia saya, kita tahu akhir cerita itu. Kita tahu siapa yang “menang.”

Kitab Wahyu, kitab terakhir dalam Alkitab, memperlihatkan kesudahan yang hebat itu. Selepas mengalahkan maut dan alam maut, serta Iblis akhirnya (20:10, 14), Yohanes menjelaskan satu babak kemenangan yang indah (21:1-3), yang Tuhan membina rumah-Nya untuk umat-Nya (ayat 3) dan menyapu “air mata mereka” di dunia yang “tiada lagi kematian, kesedihan, tangisan, dan kesakitan” (ayat 4).

Pada hari-hari yang sukar, kita boleh berpaut pada janji ini. Tiada lagi kematian atau tangisan. Tiada lagi persoalan atau hati yang patah. Tambahan lagi, kita akan hidup selama-lamanya bersama dengan Penyelamat kita. Alangkah mulianya perayaan itu!