Filem Paul, Apostle of Christ (Paulus, Rasul Kristus), mengambil sudut pandangan yang cekal terhadap penganiayaan pada zaman gereja awal. Malahan watak-watak yang kecil memperlihatkan betapa bahayanya mengikut Yesus. Renungkan peranan-peranan ini dalam senarai kredit penutup filem: Wanita yang didera; Lelaki yang didera; Mangsa Orang Kristian 1, 2, dan 3.

Orang yang mengakui diri sebagai pengikut Kristus sering kali harus menanggung akibat yang dahsyat. Di kebanyakan tempat dalam dunia ini, hal mengikut Yesus masih berbahaya. Bagaimanapun, sesetengah daripada kita mungkin sudah terasa “dianiaya” dari awalnya—marah pada bila-bila masa ketika iman kita diejek, ataupun mengesyaki bahawa kita tidak dinaikkan pangkat disebabkan oleh kepercayaan kita.

Ketara sekali, terdapat perbezaan besar antara mengorbankan status sosial dan mengorbankan kehidupan kita. Sungguhpun secara realistiknya, kepentingan diri, kestabilan kewangan, dan penerimaan sosial biasanya menjadi penggerak yang hebat kepada manusia. Kita dapat melihat dalam tindakan beberapa orang yang percaya kepada Yesus pada zaman awal Kristian. Rasul Yohanes melaporkan bahawa, hanya beberapa hari sebelum Yesus disalibkan, walaupun kebanyakan orang Israel masih enggan percaya kepada-Nya (Yohanes 12:37), “banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus (ayat 42). Bagaimanapun, “mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah” (ayat 42-43).

Hari ini kita masih menghadapi tekanan teruk daripada masyarakat yang menyebabkan kita beriman dalam Kristus secara diam-diam. Apa jua harganya yang kita harus tanggung, marilah kita berdiri tegak bersama-sama sebagai orang yang mencari pujian daripada Tuhan, bukan daripada manusia.