Sebuah firma perunding teknologi menawarkan pekerjaan selepas saya tamat pembelajaran di universiti, walaupun saya tidak pandai menulis sebaris kod komputer dan hanya memiliki sedikit pengetahuan dalam hal perniagaan. Semasa proses temu duga untuk tahap kemasukan, saya mengetahui bahawa syarikat itu tidak meletakkan nilai tinggi pada pengalaman kerja. Sebaliknya, kualiti peribadi seperti kebolehan menyelesaikan masalah secara kreatif, mengamalkan penilaian yang baik, dan bekerja baik dalam pasukan adalah lebih penting. Syarikat itu menganggap pekerja baru boleh diajar dengan kemahiran yang perlu selagi mereka adalah orang yang dicari oleh syarikat tersebut.

Nuh tidak memiliki pengalaman kerjaya yang layak untuk kerja membina kapal—dia bukan seorang pembina kapal ataupun seorang tukang kayu. Nuh ialah seorang petani, seorang yang biasa dengan tanah di bajunya dan membajak dengan tangannya. Namun apabila Tuhan membuat keputusan untuk menangani kejahatan di dunia pada masa itu, sifat Nuh yang benar jelas kelihatan kerana dia “hidup akrab dengan Tuhan” (Kejadian 6:9). Tuhan menghargai hati Nuh yang boleh diajar—kekuatan yang dapat bertahan daripada terlibat dengan kerosakan akhlak di sekelilingnya dan melakukan apa yang benar.

Apabila kita mendapat peluang untuk melayani Tuhan, kita akan berasa tidak layak. Syukurlah kerana Tuhan tidak melihat kemahiran kita. Dia mengutamakan watak, menghargai kasih kita terhadap Dia, dan kerelaan kita untuk percaya kepada-Nya. Apabila kualiti-kualiti ini telah dibina dalam diri kita oleh Roh, Dia dapat memakai kita dengan cara yang besar atau kecil untuk menyempurnakan kehendak-Nya di bumi.