Jim menjadi tidak keruan apabila berkongsi tentang masalah yang dihadapinya dengan rakan pasukan sekerjanya: perselisihan faham, sikap menghakimi, dan salah faham. Selepas mendengar dengan sabar akan kebimbangannya selama satu jam, saya mencadangkan, “Mari kita bertanya kepada Yesus apa yang Dia mahu kita lakukan tentang keadaan ini.” Kami duduk diam selama lima minit. Kemudian sesuatu yang luar biasa berlaku. Kami berdua merasakan kedamaian Tuhan melingkupi kami seperti selimut. Kami lebih santai ketika kami mengalami hadirat dan pimpinan-Nya, dan kami berasa yakin untuk mengharungi kesukaran-kesukaran itu.

Petrus, salah seorang pengikut Yesus, memerlukan hadirat Tuhan yang memberi penghiburan. Suatu malam dia dan pengikut-pengikut yang lain belayar melintasi Tasik Galilea ketika badai kuat berlaku. Dengan tiba-tiba, Yesus muncul dengan berjalan di atas air! Sewajarnya ini menyebabkan para pengikut berasa terkejut. Dia meyakinkan mereka: “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut” (Matius 14:27). Petrus dengan gopoh bertanya kepada Yesus jika dia juga boleh berjalan di atas air. Petrus pun melangkah keluar dari perahu dan berjalan menuju kepada Yesus. Tetapi dengan segera dia kehilangan tumpuan, dan menyedari tentang bahaya serta kemustahilan bagi manusia berjalan di atas air, dan mula tenggelam. Dia berseru, “Ya, Tuhan, selamatkanlah aku!” Dan Yesus dengan penuh kasih menyelamatkannya (ayat 30-31).

Seperti Petrus, kita dapat mengetahui bahawa Yesus, Anak Tuhan, menyertai kita walaupun dalam ribut kehidupan!