Baru-baru ini bapa mentua saya telah mencapai usia 78 tahun. Semasa keluarga kami berkumpul untuk memberi penghormatan kepadanya, seseorang bertanya kepada dia, “Apakah perkara paling penting yang anda telah pelajari dalam hidup anda setakat ini?” Jawapannya? “Terus bertahan.”

Terus bertahan. Dua patah perkataan kelihatan mudah, tetapi senang diabaikan. Tetapi bapa mentua saya tidak mempromosikan optimisme atau fikiran positif sembarangan. Dia telah bertahan dalam pelbagai masalah sukar sepanjang hidupnya hampir selama lapan dekad. Kesungguhannya untuk tetap bertahan bukan berdasarkan harapan yang kabur bahawa keadaan akan menjadi lebih baik, melainkan berdasarkan pekerjaan Kristus dalam kehidupannya.

“Bertahan”—Alkitab menyebutnya sebagai ketabahan—ini tidak mungkin terjadi jika melalui tekad sendiri semata-mata. Kita tabah kerana Tuhan telah berjanji berulang kali bahawa Dia menyertai kita. Dia akan memberi kita kekuatan dan Dia akan melaksanakan tujuan-Nya dalam hidup kita. Inilah mesej yang dikatakan-Nya kepada orang Israel melalui Yesaya: “Jangan takut kerana Aku menyertai kamu. Jangan cemas kerana Akulah Allah kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu” (Yesaya 41:10).

Apakah yang diperlukan untuk “bertahan”? Menurut Yesaya, dasar untuk harapan kita ialah sifat Tuhan. Dengan mengetahui kebaikan Tuhan, ini melepaskan kita daripada ketakutan dan kita boleh berpaut kepada Bapa dan janji-Nya bahawa Dia akan memberikan apa yang kita perlukan setiap hari: kekuatan, pertolongan, serta penghiburan, kuasa dan sokongan Tuhan.