Saya pernah mendengar tentang seorang pelajar yang mengambil kelas berkhutbah di sebuah seminari yang terkenal. Pelajar itu ialah seorang pemuda yang agak sombong, walaupun khutbahnya disampaikan dengan kefasihan dan semangat yang nyata. Dia duduk dengan puas hati, dan profesornya diam sejenak sebelum memberi respons. “Itu khutbah yang penuh kuasa,” katanya. “Khutbah anda teratur dan mengharukan. Satu-satu masalahnya, Tuhan bukanlah subjek utama dalam satu pun ayat anda.”

Profesor itu menonjolkan masalah yang ada kalanya menjadi pergelutan bagi kita: Kita boleh berbicara seolah-olah kita ialah pelakon utama (menekankan apa yang kita lakukan dan katakan), namun sebenarnya Tuhan ialah pelakon utama dalam segala kehidupan. Kita sering meluahkan pengakuan bahawa Tuhan secara umumnya “bertanggungjawab,” tetapi kita bertindak seolah-olah semua hasil adalah bergantung kepada diri kita.

Alkitab menegaskan Tuhan ialah subjek sebenar dalam kehidupan kita, iaitu kekuatan sejati kita. Malah tindakan iman kita juga perlu dilakukan “atas nama Tuhan”—dalam kuasa Tuhan (Mazmur 118:10-11). Tuhan yang mewujudkan penyelamatan kita. Tuhan menyelamatkan kita. Tuhan memenuhi keperluan kita. “Inilah perbuatan TUHAN” (ayat 23).

Jadi tekanan itu hilang. Kita tidak perlu berasa bimbang, asyik membandingkan, bekerja berlebih-lebihan, atau memberi tumpuan kepada banyak kegelisahan kita. Tuhan berkuasa atas segala sesuatu. Kita hanya perlu percaya dan mengikut petunjuk-Nya dalam ketaatan.