Emma yang berusia 18 tahun setia berkongsi tentang Yesus di media sosial, walaupun ada orang mengkritik kegembiraan dan kasihnya untuk Kristus. Ada yang menyerangnya dengan kata-kata menghina mengenai penampilan fizikalnya. Bahkan ada yang berkata pengabdiannya kepada Tuhan disebabkan kebodohannya. Walaupun kata-kata mereka melukai hati Emma, dia tetap menyebarkan Injil dengan iman yang teguh serta kasih untuk Yesus dan orang lain. Kadangkala, dia tergoda untuk percaya bahawa identiti dan nilainya ditentukan oleh kritikan orang lain. Apabila hal itu berlaku, dia meminta pertolongan daripada Tuhan, berdoa untuk para penganiayanya, merenungkan ayat-ayat Alkitab, serta tabah dan yakin dalam kuasa Roh Kudus.

Gideon menghadapi para penyerang yang sengit—orang Midian (Hakim-Hakim 6:1-10). Walaupun Tuhan memanggilnya sebagai “pahlawan yang gagah berani,” namun Gideon bergelut untuk melepaskan keraguan, keterbatasan diri, dan ketidakyakinan (ayat 11-15, TB). Malah dia banyak kali mempersoalkan hadirat Tuhan dan kelayakannya sendiri, tetapi akhirnya dia tetap berpegang teguh dalam iman kepada Tuhan.

Apabila kita mempercayai Tuhan, kita boleh hidup menurut pandangan Tuhan tentang identiti dan nilai kita. Walaupun pada waktu penganiayaan, kita dicuba untuk meragui identiti kita, tetapi Bapa yang penuh kasih mengesahkan hadirat-Nya dan berjuang bagi kita. Dia memberikan keyakinan bahawa kita dapat berjalan seperti para pahlawan yang gagah berani, yang bersenjatakan kasih-Nya yang mutlak, dijaga oleh rahmat-Nya yang tidak berkesudahan, dan dijamin dengan kebenaran-Nya yang dapat dipercayai.